SHAH ALAM: Tiga pembekal cakera padat digital (DVD) lucah termasuk seorang remaja berusia 16 tahun ditahan di sebuah rumah di Seksyen 25, di sini, petang kelmarin.Remaja keciciran sekolah berasal dari Puchong itu ditahan bersama dua lagi rakannya selepas polis menyerbu rumah sewa terbabit dalam operasi jam 4 petang.Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Nor Azam Jamaludin, berkata polis menerima maklumat awam berkaitan kegiatan mencurigakan di kediaman terbabit daripada orang awam sebelum membuat pemeriksaan.“Kami ke sana, tetapi tiada orang di dalam sebelum masuk dan mendapati 13 beg dipenuhi DVD pelbagai tajuk tersimpan rapi.“Kira-kira sejam kemudian, kami mula beredar, tetapi sebuah kereta jenis Proton Iswara masuk ke perkarangan rumah,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.Menurut Nor Azam, polis kemudian berpatah balik dan terus menahan tiga lelaki menaiki kenderaan berkenaan untuk pemeriksaan.Hasilnya, polis menemui tiga lagi beg dipenuhi DVD lucah di dalam but kereta terbabit. Ketiga-tiga lelaki berusia 16, 25 dan 28 tahun kemudian ditahan membantu siasatan.“Berdasarkan siasatan awal, sindiket terbabit memasarkan barangan itu di sekitar Shah Alam dan Klang dengan mengambil beberapa individu sebagai peniaga,” katanya.Keseluruhan rampasan berjumlah 5,263 DVD pelbagai tajuk terbaru filem serta 250 DVD lucah bernilai kira-kira RM50,000.Ia adalah rampasan terbesar IPD Shah Alam membabitkan DVD haram dan mereka direman bagi membantu siasatan.“Kami tidak menemui mesin pendua sebaliknya rumah yang baru disewa dua minggu itu dipercayai dijadikan pusat transit sebelum barangan terbabit diedarkan.“Polis berharap mendapat maklumat berkaitan mesin pendua digunakan menghasilkan DVD haram itu untuk diambil tindakan,” katanya.Beliau mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberi kerjasama menyalurkan maklumat hingga berjaya menumpaskan sindiket itu dan berharap kerjasama berkenaan diteruskan dari semasa ke semasa.